Pemakanan yang Ideal

Assalamualaikum WBT.

“Hai, sekalian manusia! Makanlah yang halal lagi baik daripada apa-apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 168)

Makan atau kedarah?
Berasaskan ayat al-Quran di atas, satu elemen penting yang menunjangi konsep gaya hidup sihat  ialah aspek pemakanan berpaksikan kehalalan dan kualiti tinggi makanan tersebut yang berkaitan dengan makanan seimbang dan piramid makanan. Kedua-dua hal ini perlu diambil kira dalam kehidupan seharian dan seterusnya membentuk perspektif tentang gaya hidup sihat. Di samping itu, daripada ayat di atas, satu lagi aspek yang penting ialah penghindaran diri daripada tabiat yang buruk dan berbahaya (jejak langkah syaitan) seperti merokok, penyalahgunaan dadah, dan pengambilan alkohol. Sehubungan itu, berkaitan dengan larangan mengikuti jejak langkah syaitan ialah penjagaan kebersihan diri yang merangkumi kebersihan tubuh badan dan peralatan peribadi. Selain itu, antara komponen lain yang membentuk gaya hidup sihat ialah senaman atau aktiviti fizikal. Justeru, kegagalan menitikberatkan senaman serta makanan seimbang mungkin mengakibatkan penyakit kanser, jantung, diabetes dan darah tinggi.


Bilakah nak makan buah-buahan?

Jika dirujukkan kepada tabiat pemakanan kita, ada yang menepati dengan saranan oleh pakar atau sunah Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Selain itu ada yang bertentangan dengan pendapat pakar pemakanan. Berdasarkan laman web http://www.smartgeneration.com.my, pakar-pakar pemakanan menyarankan agar memakan buah-buahan sebelum mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Cara ini bertepatan dengan sunah Rasulullah. Menurut pakar pemakanan, kuantiti vitamin C daripada buah-buahan akan menurun jika buah-buahan dimakan selepas mengambil sarapan atau makan tengah hari. Selain itu, berdasarkan laman web berkenaan, dilarang meminum air semasa sedang makan sama ada waktu sarapan, makan tengah hari atau makan malam.

Apakah teknik meminum air?

Selanjutnya, disarankan agar meminum air selepas 15 hingga 30 minit selesai makan. Seterusnya, saranan daripada laman web berkenaan iaitu ditegah minum air semasa sedang makan. Teknik peminuman air, iaitu dibiarkan air tegukan pertama di dalam mulut lebih kurang 10 saat sebelum ditelan. Hal ini disebabkan tegukan pertama itu bercampur air liur yang mengandungi enzim yang mampu membunuh kuman-kuman di dalam pankreas dan perut. Selain itu, amalan makan malam pada pukul 7.00 malam menepati sunah Rasulullah yang makan sebelum maghrib kecuali jika berpuasa.

Bagaimanakah cara makan?


Jika dirujuk pada laman web http://www.ekabakti.com ada dinyatakan  bahawa baginda Rasulullah menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanan dan kemudian membiarkan seketika, lalu mengambil sedikit garam menggunakan jari kelengkeng, lalu dihisap garam itu. Kemudian barulah Rasulullah makan nasi dan lauknya. Selain itu, Rasulullah makan menggunakan tangan. Menerusi laman web ini, diperjelas khasiat  daripada amalan Rasulullah tersebut. Dipercayai kedua-dua belah tangan kita ada mengeluarkan tiga jenis enzim namun penghasilan di tangan kanan kurang berbanding tangan kiri. Hal ini adalah kerana enzim yang terhasil di tangan kanan dapat membantu proses penghadaman. Selain itu, sunah baginda Rasulullah menghisap garam adalah disebabkan garam ialah sumber mineral daripada tanah yang diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam menggunakan jari itu adalah sama dengan satu liter air mineral.

Apakah teknik semasa makan?


Melalui laman web http://ping.sg, ada dipetik menerusi buku “Healing with the Medicine of the Prophet” iaitu baginda Rasulullah menegah menyengetkan badan di satu arah ketika makan kerana hal ini menghalang makanan daripada memasuki saluran yang betul dan cepat sampai ke perut. Di samping itu ada dinyatakan larangan minum sambil berdiri walaupun makruh tetapi tabiat ini menghampiri kepada haram dalam laman web http://www.ekabakti. com.

Apakah komposisi kandungan pemakanan?
Piramid Makanan Sejajar dengan Ajaran Islam
Dari segi sajian yang diambil pada setiap hari, sebaik-baiknya menepati dengan kuantiti dan kualiti yang disarankan menerusi http://www.myhealth. gov.my berpandukan piramid makanan. Sepatutnya, kumpulan makanan pada paras 1 yang meliputi produk bijirin-bijirin dan ubi-ubi diambil sebanyak 8 hingga 12 sajian. Manakala pada paras 2 diambil sebanyak 3 hingga 5 sajian yang merangkumi buah-buahan dan sayur-sayuran. Ikan, ternakan, daging dan kekacang pada paras 3 diambil sebanyak 2 hingga 3 sajian. Yang paling sedikit ialah susu dan hasil tenusu iaitu sebanyak 1 hingga 2 sajian.

“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Yunus: 44)    

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, dapat disimpulkan bahawa manusia itu sendiri yang membinasakan  diri mereka sendiri dengan pengabaian  terhadap pelaksanaan gaya hidup sihat berteraskan perspektif yang berpaksikan ajaran Islam.

Wassallam.

Comments

Popular posts from this blog

Jenis-jenis Perkataan dalam Bahasa Melayu (Kata Tunggal, Kata Terbitan, Kata Majmuk, & Kata Ganda)

Senyum... Senyum... Aneka Senyum...

Kewajaran Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu