Ketepatan Tanda Baca; kesempurnaan Teks.

Assalamualaikum WBT.

Berdasarkan buku yang ditulis oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Bimbingan Pelajar: Bahasa Kita Jilid 1 terbitan 'K' Publishing Sdn Bhd. (2003) ada diperjelas fungsi tanda baca iaitu(.), (,), (:) dan (;). Di sini aku ghoyat (nyatakan) fungsi tanda-tanda baca tersebut.


Sumber:
http://www.google.com.my/imgres?q=tanda+baca 


Titik atau noktah (.)
1.Menandakan berakhirnya sesuatu ayat [Adeeb sedang menanak nasi.].
2.Menandakan kependekan pada perkataan [En. bagi Encik, utk. bagi untuk, Bkt. Chatak bagi Bukit Chatak, bt. bagi binti, Trg. bagi Terengganu, dll. bagi dan lain-lain].
3.Menandakan angka perpuluhan [3.1%: tiga perpuluhan satu peratus].
4.Memisahkan angka ringgit daripada sen  [RM5.20: lima ringgit dua puluh sen].
5.Diletakkan di hadapan angka sen jika tidak ada angka-angka lain sebelumnya [RM0.50: lima puluh sen].

Koma (,)
1.Memisahkan item demi item dalam senarai [Fahmi membasuh kasut, stoking, baju, seluar, dan kain pelekatnya.].
2.Berkaitan aspek penyenaraian dan penggunaan singkatan dsb. atau dll. pada akhir senarai [Ibu membeli sawi, ikan, beras, daging, dll.].
3.Memisahkan unsur dalam ayat seperti memisahkan kata seru daripada bahagian ayat yang lain [Eh, Asiah pun ada di sini!].
4.Memisahkan frasa-frasa yang berupa pandangan atau pendapat yang disisipkan dalam ayat [Tindakannya itu, pada fikiran saya, tidak sopan.].
5.Memisahkan unsur penanda wacana daripada bahagian ayat yang lain [Soalan itu amat sukar. Namun, Rusmadi tidak gelabah.].
6.Menandakan pemisahan antara unsur penerang dengan yang diterangkan [Cikgu, yang mengajar kami, akan melanjutkan pelajaran.Cikgu bagi diterangkan dan yang mengajar kami bagi unsur penerang.
7.Memisahkan ayat daripada cakap ajuk [Abd. Salam berkata, "Saya akan ke masjid malam ini."]["Itulah kereta saya", kata Mazida, "yang diparkir di tepi jalan itu."].

Titik Bertindih atau Noktah Bertindih (:)
1.Membawa makna yang sama dengan tanda (=), iaitu apa-apa yang hadir selepas tanda (:) sama dengan perkataan yang hadir sebelumnya [Tempat-tempat yang akan dilawati adalah seperti yang berikut: Taman Tamadun Islam, Pasar Kedai Payang, Dataran Syahbandar, Tasik Kenyir, dan Rantau Abang.].
2.Digunakan untuk memulakan petikan atau ucapan [Mengikut Guru Besar: "Sambutan Raya Merdeka tahun ini amat meriah."].

Tanda Koma Bertitik (;)
1.Menyambungkan dua ayat yang setara (ayat majmuk gabungan) yang tidak menggunakan kata hubung gabungan  (dan, lalu, atau, malahan, tetapi, sambil, serta, dll.) [Ayah memotong rumput; ibu menyiram pokok bunga.].
2.Menyenaraikan satu siri maklumat dan terdapat penggunaan koma dalam ayat tersebut [Panduan menulis karangan; pertama, memilih tajuk yang paling menarik minat; kedua, membina rangka karangan; ketiga, menulis karangan berdasarkan rangka; dan keempat, semak semula karangan setelah siap.].

Uji Minda
Apakah perbezaan antara dua ayat di bawah?
1.Di kedai itu Isa membeli bola hijau, kuning, biru, dan merah.
2.Di kedai itu Isa membeli bola hijau, kuning, biru dan merah.

Wassallam.

Comments

Popular posts from this blog

Jenis-jenis Perkataan dalam Bahasa Melayu (Kata Tunggal, Kata Terbitan, Kata Majmuk, & Kata Ganda)

Senyum... Senyum... Aneka Senyum...

Kewajaran Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu