Implikasi Solat Terhadap Fisiologi & Kesihatan


Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi.
Beibadatlah seolah-olah kamu akan mati hari esok; Bekerjalah seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi.

Assalamualaikum WBT.


Bertemu lagi hari ini untuk aku perincikan implikasi solat dalam mengekalkan tahap kesihatan yang menumpukan aspek sosiologi dan kesihatan. Sebelum menapak lebih jauh aku ingin memperjelas tiga kata yang utama iaitu solat, fisiologi dan kesihatan. 

Definisi Fisiologi
Berdasarkan Hajah Noresah bt. Baharom (Ketua Editor), 2005, Kamus dewan. (Edisi ke-4). Ampang: Dewan Bahasa dan Pustaka, takrifan fisiologi merujuk kepada, “Proses dan fungsi keseluruhan atau sebahagian daripada sesuatu organisma“. Organisma ialah haiwan, tumbuhan dan benda-benda yang menjalani proses kehidupan seperti bernafas, membesar dan membiak. Proses dan fungsi berkenaan merangkumi sistem respirasi, sistem peredaran darah sama ada ganda dua, lengkap dan tertutup dan sistem otot manusia.

Aspek fisiologi berkaitan dengan prestasi: 
1. Daya tahan kardiovaskular.
2. Kelenturan.
3. Komposisi tubuh.
4. Kekuatan otot.
5. Daya tahan otot.

Bil
Aspek
Peruncingan
1
Daya tahan kardiovaskular
Keupayaan jantung dan salur darah membekalkan oksigen kepada sel-sel badan semasa aktiviti fizikal dijalankan.
2
Kelenturan
Keupayaan sendi anggota untuk bergerak dengan lancar tanpa berasa sakit dan lesu.
3
Komposisi tubuh
Peratusan lemak nisbah kepada peratusan otot dalam badan. Badan seseorang yang cergas lebih banyak tulang berbanding dengan kandungan lemaknya.
4
Kekuatan otot
Kebolehan otot mengatasi rintangan tatkala aktiviti fizikal, iaitu apabila otot menjadi kuat sementara itu aktiviti fizikal menjadi ringan dan tidak cepat mendatangkan keletihan.
5
Daya tahan otot
Kebolehan otot menghasilkan daya berulang-ulang dalam suatu tempoh masa.

Definisi Kesihatan
Manakala, menurut Zarina Law bt. Abdullah & Abdul Latif b. Ahmad, 2007, HBHE1103 : Pengenalan pendidikan kesihatan. (Edisi ke-4). Kuala Lumpur: Open University Malaysia (OUM), takrifan kesihatan, “Kesihatan adalah sesuatu keadaan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial, dan bukan semata-mata ketiadaan penyakit dan cacat cedera sahaja.”. Kesihatan adalah mempunyai hubung kait dengan setiap individu tentang cara-cara berinterakasi terhadap komuniti, persekitaran dan permasalahan kehidupan seharian. Konsep kesihatan yang menyeluruh tersebut, merangkumi enam komponen utama yang saling bersepadu dan saling bertindak sejajar ke arah untuk mencapai kesejahteraan penghidupan dan kesempurnaan kendiri. Sebarang perubahan (baik atau buruk) yang berlaku pada salah satu komponen itu tentu akan mengganggu rantaian komponen-komponen yang lain.

Definisi Solat
Sedia  maklum  bahawa  definisi  solat  pada  istilah  syarak adalah koleksi beberapa perkataan dan perlakuan yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan ucapan salam berserta syarat-syarat yang ditentukan. Dalam penyempurnaan sesuatu solat, beberapa rukun sama ada berbentuk perkataan dan perlakuan perlu dilaksanakan seperti termaktub dalam kitab-kitab fiqah yang digarap berasaskan al-Quran dan hadis. Antara himpunan rukun perlakuan aktiviti fizikal tersebut adalah seperti berikut:
1. Berdiri: Dengan betul (tegak dan lurus) bagi yang berupa (orang yang mampu berdiri; bagi yang tidak mampu, ada pengecualian dalam hal ini).
2. Rukuk: Membongkokkan badan dengan tangan ditekankan  ke lutut sehingga paras belakang dan kepala sama rata.
3. Iktidal: Berdiri tegak selepas rukuk.
4. Sujud: Berlutut sambil meletakkan dahi ke lantai.
5. Iftirasy: Duduk dengan telapak kaki kiri dijadikan alas untuk duduk sementara telapak kaki kanan ditegakkan dengan jari-jari kaki kanan menghadap kiblat.
6. Tawaruk: Duduk dengan kaki kiri di bawah kaki kanan dan telapak kaki kanan ditegakkan.

Selain daripada aktiviti fizikal berupa rukun, terdapat beberapa aktiviti lain yang digalakkan dipraktikkan ketika menunaikan sesuatu solat. Aktiviti-aktiviti ini dinamai perlakuan sunat. Perlakuan ini diselang-selikan dengan bacaan dan rukun solat bagi menyempurnakan serta meningkatkan kualiti kaedah manusia (makhluk) menyembah penciptanya, Allah Azzawajalla (Khalik). Berikut disenaraikan aktiviti-aktiviti fizikal tersebut.
Aktiviti Fizikal Sunat dalam Solat
Bil
Aktiviti
Peruncingan
1
Mengangkat kedua-dua belah tangan sehingga ibu jari bersetentangan dengan kedua-dua telinga.
Pada empat tempat dalam solat:
·    ketika takbiratulihram
·    ketika rukuk
·    ketika iktidal
·    ketika bangun berdiri sesudah membaca tahiyat awal
2
Meletakkan kedua-dua belah tangan di bawah dada; tangan kanan di atas memegang pergelangan tangan kiri.
Ketika berdiri.
3
Meletakkan kedua-dua telapak tangan pada kedua-dua kepala lutut.
Ketika rukuk.
4
Meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dan tangan kiri di atas paha kiri ketika membaca tahiyat; jari-jari kiri diluruskan dan jari tangan kanan digenggam kecuali jari telunjuk.
Ketika tahiyat awal dan tahiyat akhir.
5
Memalingkan muka ke kanan dan ke kiri
Ketika mengucapkan kedua-dua salam.

Implikasi Solat Terhadap Fisiologi dan Kesihatan
Individu yang menunaikan solat yang berkualiti akan mempunyai tahap kecergasan fizikal yang baik dapat meningkatkan kecekapan sistem respirasi dan sistem kardiovaskular yang merangkumi denyutan jantung, peredaran darah dan menambah kekuatan otot. Sehubungan itu, hal ini mampu mengelakkan penyakit kardiovaskular dan tekanan darah tinggi. Seseorang yang sudah mencapai tahap kecergasan fizikal dapat mengatasi cabaran aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.

Implikasi Aktiviti Fizikal Berdiri
Semasa Solat Terhadap Respirasi 
Berdasarkan kajian saintifik, pergerakan fizikal dalam solat memberi impak secara langsung terhadap pergerakan otot-otot yang tertentu. Tatkala individu mula berdiri tegak lalu mengangkat kedua-dua tangan bertakbir dan meletakkan kedua-dua belah tangan di dada antara pusat dengan dada bahagian atas sambil tangan kanan di atas memegang pergelangan tangan kiri; pembesaran rongga dada serta paru-paru terasa luas dan berlaku pergerakan otot-otot di kedua-dua belah tangan. Keadaan ini akan melancarkan mekanisme pernafasan akan melibatkan tindakan diafragma yang mengubah isi padu dan tekanan udara di dalam rongga toraks.

Implikasi Aktiviti Fizikal Rukuk
Semasa Solat Terhadap Fleksibiliti Tubuh
Seterusnya kelenturan (fleksibiliti) tubuh diaktifkan melalui aktiviti fizikal rukuk dengan membongkokkan ke hadapan dan kedua-dua tangan di atas kepala lutut serta direnggangkan jemari dan punggung mendatar (parallel to the ground). Sehubungan itu, perlakuan ini menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tongkeng. Impaknya, aktiviti ini mampu melenturkan semua sendi di bahagian badan terutama tulang belakang, tangan dan kaki. Aktiviti ini amat efisien kerana pergerakan secara lembut dan santai mampu memberikan kesan positif terhadap fisiologi dan kesihatan.

Implikasi Aktiviti Fizikal Sujud
Semasa Solat Terhadap Koordinasi Tubuh
Sementara itu, semasa sujud pula, seluruh berat badan tertanggung secara maksimum di atas otot-otot kedua-dua tangan, dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Sedia maklum, bahawa aktiviti fizikal sujud dilaksanakan dua kali secara berturut diselangi dengan iftirasy; berlaku pergerakan sejumlah besar otot-otot di dada, bahu, lengan, perut, punggung, paha, kaki bahagian bawahan dan otot-otot lain. Anggota-anggota badan iaitu kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut, kedua-dua tapak kaki dan kepala (dahi dan hidung) berkoordinasi secara aktif ketika sujud. Hal ini akan meningkatkan kecergasan semula jadi manusia.

Konklusi
Alhamdulillah. Dewasa ini, kekurangan kesedaran dalam mempraktikkan sesetengah aktiviti fizikal yang bermakna dan berkualiti khususnya solat menyebabkan anggota masyarakat sering kali berhadapan dengan risiko pelbagai penyakit kronik serta berbahaya. Oleh hal yang demikian, adalah cukup penting untuk melakukan pelbagai aktiviti fizikal iaiatu solat secara sistematik dan berterusan. Akibat terlalu mementingkan kerjaya, ramai telah melupakan aspek aktiviti-aktiviti fizikal yang menggalakkan proses perkumuhan seterusnya memberi impak positif terhadap perkembangan fisiologi dan tahap kesihatan. Walau bagaimana sibuk sekalipun dengan tugasan dan tanggungjawab, seharusnya semua perlu meluangkan masa untuk mempraktikkan aktiviti-aktiviti fizikal. Jika tidak, hal ini akan merugikan diri sendiri. Namun demikian, selain daripada yang tersebut, pengambilan makanan seimbang dan mendapatkan pemeriksaan daripada doktor dari semasa ke semasa juga penting ke arah pencegahan penyakit serta meningkatkan peluang untuk rawatan juga aspek penyembuhan.


Bibliografi
Hajah Noresah bt. Baharom et al. (2005). Kamus Dewan. (Edisi Keempat). Ampang: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Hj. Johari Hj. Alias. (1997). Panduan Lengkap Ibadah Solat. (Edisi Keempat). Kuala Lumpur: Darul Nu’man.

M. Siddiq Mustika. (2007). Solat Khusyuk Solat S.M.A.R.T. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Zarina Law bt. Abdullah & Abdul Latif b. Ahmad, 2007, HBHE1103 : Pengenalan pendidikan kesihatan. (Edisi ke-4). Kuala Lumpur: Open University Malaysia (OUM).

Comments

Popular posts from this blog

Jenis-jenis Perkataan dalam Bahasa Melayu (Kata Tunggal, Kata Terbitan, Kata Majmuk, & Kata Ganda)

Senyum... Senyum... Aneka Senyum...

Kewajaran Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu