Peranan Bahasa Melayu Sebagai Wahana Penyatuan Bangsa Malaysia.


Assalamualaikum WBT.

Artikel yang aku muat naik ke blog ini ialah tugasan yang disempurnakan untuk subjek HBML 4403: Kompentensi Dalam Bahasa Melayu bagi Semester Januari 2011. Semoga artikel ini dapat dimanfaatkan untuk menangkis serta menggempur usaha-usaha yang digerakkan untuk meraksasakan bahasa Inggeris dalam sektor pendidikan di negara kita yang tercinta ini. Malangnya nanti, bahasa Melayu semakin terpinggir. Alahai bahasa Melayu ... .

Pendahuluan
Filsuf-filsuf Islam yang muktabar seperti al-Ghazali dan al-Farabi dan juga tidak terkecuali pemikir-pemikir ulung dalam tradisi Barat seperti Humboldt, Descartesm Wittgenstein, dan Chomksy memperakui bahawa bahasa sebagai aspek penting dalam kehidupan manusia sejagat. Hal ini tidak dapat dinafikan jika dirujuk kepada sejarah awal kehidupan dan ketamadunan manusia, bahasa amat berperanan dalam membina konsep kendiri dan menambah baik tahap keilmuan setiap individu. Selain itu, secara sarwajagat bahasa merupakan salah satu unsur penting sebagai wadah dokumentasi masyarakat, pengungkap falsafah, ilmu serta pemikiran, dan juga sebagai alat kreativiti manusia dalam pelbagai bidang kehidupan.

Definisi Frasa-frasa dalam Soalan Tugasan
Berdasarkan Hajah Noresah bt. Baharom (Ketua Editor), 2005, Kamus Dewan, (Edisi Ke-4), Ampang: Dewan Bahasa dan Pustaka, takrifan bahasa merujuk kepada, “Sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain”. Konklusinya, bahasa itu pada dasarnya ialah bunyi suara atau bahasa lisan. Ghalibnya, manusia mengaplikasikan bahasa lisan sebelum bahasa tulisan sebagaimana anak-anak belajar berbicara sebelum belajar menulis. Justeru, pengucapan lisan dan proses penulisan itu merupakan lambang bahasa. Selanjutnya, merujuki Kamus Dewan, definisi wahana ialah saluran atau perantaraan yang memungkinkan sesuatu dilakukan, disampaikan, atau dicapai. Oleh itu, pengertian wahana amat signifikan dengan metode atau medium untuk merealisasikan sesuatu objektif atau misi. Seterusnya, penyatuan dapat dikaitkan dengan perihal menyatukan (mengumpulkan menjadi satu supaya lebih kuat, kukuh, dan teguh).

Asal-usul Bahasa Melayu
Menerusi perspektif warga Malaysia, sering kali digunakan istilah “bahasa Melayu”, “orang Melayu” atau “bangsa Melayu”. Namun demikian adakah kita mengetahui istilah “Melayu” ini dan bagaimanakah asal-usulnya? Istilah “Melayu” sangat baru dijumpai, iaitu hasil daripada kesan-kesan sejarah. Istilah “Melayu” paling awal dijumpai dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina beragama Buddha yang bernama I-Tsing, yang dipercayai ditulis pada sekitar tahun-tahun 645-655 Masihi. Tulisan itu menjelaskan orang Mo-lo-yeu yang mengutuskan duta ke negara China untuk mempersembahkan hasil mahsul dan ufti kepada maharaja Cina. Namun demikian, lokasi kerajaan Mo-lo-yeu tidak dinyatakan secara jelas sama ada di Semenanjung Tanah Melayu atau di Jambi, Sumatera. Selain itu, konsep Melayu sebagai bahasa masih belum timbul pada peringkat ini. Mengikut catatan I-Tsing sekitar tahun 644-645 Masihi, terdapat sejenis bahasa yang dituturkan di Srivijaya pada waktu itu bernama ‘K’un-lun. Bahasa ‘K’un-lun ini bukan sahaja dituturkan oleh penduduk tempatan tetapi juga dipelajari oleh orang asing untuk memudahkan mereka berkomunikasi. Dipercayai bahawa ‘K’un-lun ini ialah bentuk bahasa Melayu tua yang terawal, yang dikenali juga dengan nama bahasa Melayu kuno. Walau bagaimanapun, penemuan bukti konkrit yang pertama pada tahun 683 adalah signifikan dengan bentuk dan sifat bahasa Melayu; terjumpanya batu bersurat yang mengandungi bahan bertulis yang bentuk dan susunannya dapat diklasifikasikan sebagai bahasa Melayu (Nik Safiah Karim et. al, 2008).

Bahasa Melayu Era Kesultanan Melayu Melaka
Seterusnya, bahasa Melayu berperanan sebagai alat penyebaran agama Islam, satu agama yang amat tinggi sekali martabat kesyumulannya sewaktu zaman kesultanan Melayu Melaka sinonim dengan zaman keagungan kerajaan Melayu iaitu bermula pada abad ke-13. Lanjutannya, penggunaan bahasa Melayu begitu meluas melalui pengaruh politik Melayu pada masa itu. Implikasi daripada kedua-dua faktor ini, tanpa menoleh ke belakang, perkembangan bahasa Melayu begitu pesat. Impaknya, bahasa Melayu mendapat satu bentuk tulisan baharu, iaitu tulisan Jawi yang mengambil tempat tulisan rencong iaitu sistem tulisan yang terbit daripada pallava dan kawi. Perbendaharaan kata bahasa Melayu berkembang pada tahap yang optimum, iaitu hasil daripada keperluan untuk mengemukakan idea-idea baharu yang seiring dengan kemunculan ketamadunan Islam. Bahasa Melayu terus berkembang, terutamanya dalam bidang kesusasteraan dan telah menjadi medium penting bagi menyampaikan kesenian Melayu-Islam pada zaman tersebut.

Kronologi pengaruh bahasa Melayu terus mendominasi kepulauan Nusantara meskipun dengan kejatuhan kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis dalam tahun 1511. Pernyataan ini dapat disahkan dengan kemunculan banyak senarai perkataan dan kamus Melayu yang disusun oleh pelbagai bangsa. Kedapatan senarai perkataan Melayu dan dalam bahasa asing; antara senarai ini dalam bahasa Melayu dan Itali disusun oleh Pigafetta seorang kelasi kapal “Victoris” yang diketuai oleh Magellan pada tahun 1521. Selain itu, pada tahun 1603 seorang Belanda, Frederick de Houtman yang menjawat posisi Gabenor Pulau Ambon menerbitkan senarai perkataan bahasa Melayu dan Madagascar. Menjelang tahun 1624, karya Houtman ini diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani oleh Arthus dan bahasa Inggeris oleh Augustine Spalding. Pada tahun 1631 Paderi David Haex telah menyusun sebuah kamus Melayu-Yunani dan Yunani-Melayu sebagai wahana penyebaran agama Kristian.

Bahasa Melayu Era Penjajahan Inggeris
Dr. Tan Ta Sen
Seyogianyalah jangan kita lupa perkembangan bahasa Melayu semakin merudum pada era penjajahan Inggeris. Hal ini bertepatan dengan artikel Tan Ta Sen (1993) yang bertajuk “Bahasa Sebagai Alat Perhubungan Fikiran” iaitu masyarakat Melayu dahulu sangat sederhana, statik, bersifat pertanian, dan banyak aspek kehidupan sosial mereka dijalankan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Kendatipun begitu, gerak dan usaha hendak menggantikan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu mula jelas kelihatan ketika peralihan dari zaman penjajahan kepada zaman prakemerdekaan dan segala kelemahan serta kekurangan bahasa tersebut juga dapat diminimumkan dalam tempoh masa tertentu.

Peranan Bahasa Melayu: Bahasa Kebangsaan
Dalam senario perancangan peranan bahasa, Malaysia mempunyai dasar bahasa yang cukup jelas yang merangkumi empat dasar utama iaitu dasar bahasa kebangsaan, dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa untuk maksud-maksud tertentu atau khusus. Senario sebegini rentetan daripada persepsi bahawa bahasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa ibundanya. Isu bahasa merupakan salah satu pokok perbincangan semasa permuafakatan kontrak sosial. Isu ini dapat diselesaikan dengan toleransi dan permuafakatan antara kaum-kaum utama di Tanah Melayu. Secara ringkasnya, dapat dirumuskan seperti berikut: Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini bertepatan dengan Perenggan 152 para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa Melayu dinaikkan taraf sebagai bahasa kebangsaan.

Peranan Bahasa Melayu: Bahasa Rasmi
Dasar bahasa kedua mengiktiraf peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Perenggan 152, para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Tanggal 1 September 1967, bahasa Melayu telah dimantapkan dengan dinobatkan sebagai bahasa rasmi bagi Persekutuan Malaysia yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Hal ini berlaku selepas 10 tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Namun demikian, pada masa yang sama bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia, bebas digunakan seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Sejajar dengan fungsi bahasa Inggeris yang mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian sarwa negara, kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa antarabangsa tersebut khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa.

Peranan Bahasa Melayu: Bahasa Pendidikan

Perlembagaan Persekutuan
Ketiga, dasar bahasa pendidikan Malaysia jelas, iaitu peranan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama bagi semua sistem pendidikan formal peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah, dan pengajian tinggi. Pengiktirafan ini telah diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961. Selain itu, peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan terutamanya di institusi-institusi pendidikan tinggi swasta mengalami perubahan atau penambahbaikan apabila pihak Parlimen Malaysia meluluskan Akta Pendidikan 1996. Berpaksikan Seksyen 2 dalam Akta 1996, dapat ditafsirkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun demikian, menurut Seksyen 17 (1) menteri diberi peruntukan kuasa untuk mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sesebuah institusi pendidikan. Peruntukan tersebut secara jelas memastikan bahawa peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mengalami perubahan yang positif dan dinamik.

Peranan Bahasa Melayu: Bagi Maksud dan Tujuan Tertentu
Peranan bahasa yang keempat adalah amat penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa, berbilang agama,dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Bahasa Melayu diyakini berperanan sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi jambatan menghubungkan pelbagai etnik. Kendatipun ada bahasa kebangsaan, tiada sesiapapun yang dilarang daripada menggunakan, belajar, atau mengajar apa-apa bahasa lain. Oleh itu, hal ini tidak menghalang kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil) di Malaysia. Bahkan bahasa Inggeris juga diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan, di negara-negara liberal yang memperjuangkan hak asasi manusia pun tiada jaminan sebegini seperti yang dilaksanakan di Malaysia.

Kepentingan Bahasa Melayu: Alat Komunikasi
Tidak dapat dinafikan bahawa sarwa manusia amat mengiktiraf kepentingan bahasa sebagai wahana komunikasi antara manusia. Tanpa batasan sempadan, bahasa merupakan alat perantara bagi manusia menyampaikan perasaan atau pemikiran dalam bentuk tulisan, lisan, atau isyarat. Oleh sebab itu, kemahiran berbahasa perlu diusahakan dan bukan hanya berserah kepada teori transformasi generatif semata.

Selain itu, sering kali idea yang sederhana dan kurang bermutu diterima dan diguna pakai kerana dapat disampaikan dengan bahasa yang gramatis serta berkualiti. Sebaliknya, banyak idea yang jitu, bernas, dan tuntas ditolak atau diketepikan begitu sahaja kerana tidak dapat disampaikan dengan menggunakan bahasa yang betul, jelas, dan meyakinkan.

Seterusnya, amat ketara kepentingan bahasa bagi menghasilkan komunikasi berkesan dan keberhasilan proses penitisan ilmu. Oleh sebab itu, perlu diperluaskan penguasaan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa asing. Hal ini akan mempertingkatkan lagi perhubungan dan menambah kualiti komunikasi antara satu sama lain.

Kepentingan Bahasa Melayu: Wahana Penyatuan Bangsa
Berdasarkan fungsi bahasa Melayu sebagai wahana penyatuan bangsa, maka boleh didefinisikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan masyarakat majmuk di negara ini meskipun wujudnya jurang perpisahan antara pelbagai golongan etnik atau bangsa yang tinggal dalam masyarakat di Malaysia. Tambahan pula, perpisahan sedemikian iaitu secara fizikal telah lama wujud dalam kalangan penduduk di negara ini. Melalui penelitian dan kajian yang terperinci, bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak lima abad yang lalu iaitu zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik. Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin (2007), Melaka berperanan sebagai pusat pengembangan bahasa, kebudayaan, dan kesusasteraan.

Kepentingan Bahasa Melayu: Bahasa Lingua Franca
Pada era itu, semua bangsa yang ada hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu telah mengakui akan mustahaknya bahasa Melayu. Dalam kitab Sejarah Melayu ada dijelaskan situasi para pedagang bertungkus lumus mempelajari bahasa Melayu serta menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu. Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut mempraktikkan bahasa Melayu dengan tulisan jawi. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British, Portugis, dan Belanda. Munsyi atau guru bahasa Melayu yang akan mengajar mereka sekiranya mereka tidak memahami dan mengerti bahasa ini. Selain itu, dokumen-dokumen lain seperti undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan betapa bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan bukan sahaja digunakan di Nusantara bahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Kepentingan Bahasa Melayu: Simbol Permuafakatan antara Etnik
Selain itu, bahasa Melayu telah diguna sekian lama sebagai bahasa rasmi dan perbualan harian, sebagai bahasa komunikasi, dan persuratan maka telah dipersetujui dan disepakati oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957. Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana yang termaktub dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.

Kepentingan Bahasa Melayu: Bahasa Pengantar yang Diiktiraf
Sedari itu bahasa Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah. Lagi terang lagi bersuluh bahasa Melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat dimanfaatkan bersama untuk mencapai matlamat perpaduan.

Isu atau Masalah: Wadah Penyataan Fikiran
Natijah daripada permasalahan bahawa manusia perlu menyatakan kehendak hati dan fikiran maka bahasa berfungsi sebagai alat perhubungan. Oleh itu, bahasa sebagai wadah asas pergaulan dalam kelompok masyarakat. Justeru, masyarakat majmuk secara realiti di Malaysia lebih selesa serta tuntas melaksanakan proses muamalat dan urusan perniagaan menggunakan bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, peranan bahasa Melayu sebagai wahana penyatuan bangsa Malaysia tidak boleh dipertikaikan lagi atas kapasiti bahasa itu yang mampu menjadi teras perpaduan antara pelbagai bangsa di negara ini. Hal ini disebabkan bahasa Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas. Bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan malahan statusnya ialah bahasa rasmi dan tidak rasmi. Oleh itu, keperluan bahasa itu timbul kerana manusia berasa kepentingan untuk menyatakan kehendak hati dan fikiran. Konklusinya, dalam isu penyataan fikiran, bahasa Melayu memainkan fungsi sebagai wadah komunikasi antara individu yang pelbagai bangsa amat sinonim sekali di Malaysia.

Isu atau Masalah: Pendaulatan Bahasa Melayu
Isu pendaulatan bahasa Melayu yang diuar-uarkan telah mengakibatkan konflik dalam kalangan warga Malaysia. Sebahagiannya menyokong usaha ini manakala sebahagian yang lain sebaliknya. Konflik antara dua golongan ini mengakibatkan pelbagai alasan dan hujah yang berdasarkan logika dan fikiran dikemukakan. Terkadang mengundangkan alasan berasaskan emosi yang membuak-buak tanpa dibatasi pemikiran yang rasional. Sebagai asas untuk membendung situasi gawat sebegini, Jawatankuasa Pelajaran Razak 1970 yang dibentuk oleh kerajaan telah menggariskan Dasar Pendidikan Kebangsaan berpaksikan saranan yang termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1957. Selanjutnya, tatkala Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib dibentuk pada tahun 1960, status bahasa Melayu selaku bahasa pengantar dalam ruang lingkup pendidikan telah diperkasakan. Langkah ini berobjektifkan agar para pelajar dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Sehubungan itu, dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam institusi pendidikan, generasi muda daripada pelbagai kaum berpeluang menyemaikan sikap toleransi dan saling memahami dalam kalangan mereka bak pepatah Melayu; kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Natijahnya, ialah penyatuan masyarakat berbilang bangsa yang sejajar dengan konteks pembinaan negara. Bahkan bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat seantero dunia. Hal ini terbukti apabila Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri telah menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah universiti di China semasa lawatan beliau ke sana pada 3 Jun 2009. Tidak perlu dipertikaikan bahawa bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman dalam kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak sewajarnya dilupakan; dengan adanya perpaduan inilah, maka pembangunan Malaysia dapat direalisasikan secara dinamik seperti sekarang ini.

Isu atau Masalah: Kemampuan Bahasa Melayu dalam Sektor Pentadbiran
Selanjutnya, kemampuan bahasa Melayu mendominasi sektor pentadbiran merupakan salah satu isu dalam kepentingan bahasa ini sebagai alat perhubungan dan wahana penyatuan bangsa. Sehubungan itu, individu yang dipertanggungjawabkan menggerakkan sektor berkenaan iaitu pihak pentadbir perlu mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu untuk membuktikan kemampuan bahasa ini. Gerak usaha ini adalah untuk memastikan bahasa yang digunakan tidak bercelaru, baik dalam aspek ejaan, penggunaan istilah, dan gramatis. Hal ini bererti bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa Melayu baku serta mempunyai sistem yang sama untuk semua pihak. Di negara kita, slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang daripada bangsa lain, bahasa Melayu yang standard wajar digunakan. Bahasa inilah yang diajar dan dipraktikkan di sekolah, dalam buku teks, buku-buku, dan majalah serta dokumen-dokumen rasmi yang lain. Dalam situasi sebegini, proses pencairan maklumat dan penitisan ilmu dapat dilaksanakan secara optimum meskipun antara pihak yang berbeza etnik.

Isu atau Masalah: Kemampuan Bahasa Melayu Menyatukan Bangsa
Kesimpulannya, agar lebih berkesan bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi dan wahana penyatuan bangsa; penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara maka amat perlu dilaksanakan dengan tegas dan konsisten dalam semua sektor. Sehubungan itu, isu menentukan bahasa Melayu yang patut digunakan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan atau negara tidak perlu dijadikan polemik. Hal ini merupakan masalah pragmatisme, yakni masalah fungsi bahasa itu sebagai alat pembangunan negara dan bukan hanya merupakan masalah ideologi yang berkait dengan soal nasionalisme, perpaduan bangsa serta jati diri negara. Yang paling utama, adalah memilih bahasa Melayu untuk menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara yang merdeka selepas tahun 1957. Secara langsung tindakan ini akan memperkasa status bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan yang diharap akan berfungsi sebagai bahasa komunikasi luas dalam masyarakat pelbagai kaum dan bahasa.

Cadangan Memartabatkan Bahasa Melayu: Bahasa Melayu Bahasa Pendidikan
Di samping itu, arahan atau seruan supaya bahasa Inggeris digunakan untuk mengendalikan kursus-kursus sains dan teknologi tertentu di institut-institut pengajian tinggi perlu dikesampingkan. Seruan sebegini sudah pasti akan menyaingi, malah akan menggugat kedudukan bahasa Melayu yang sudah mantap sebagai bahasa ilmu. Ironinya, penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas di institusi pengajian tinggi swasta yang berjumlah lebih daripada 280 buah banyaknya di negara ini. Meskipun sistem pendidikan kebangsaan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya di sekolah kebangsaan dan di institusi pengajian tinggi awam; tidak menjejaskan nasib pendidikan kaum-kaum bukan Melayu. Pelajar-pelajar bukan Melayu sudah membuktikan bahawa dasar ini tidak menjadi batu penghalang kepada mereka untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam sektor pendidikan melalui bahasa Melayu, baik di peringkat SPM dan STPM mahupun di peringkat universiti.

Cadangan Memartabatkan Bahasa Melayu: Mengaktifkan Bahasa Melayu di Sektor Swasta
Langkah berikutnya, pihak kerajaan sewajarnya mengaktifkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor swasta. Peminggiran bahasa Melayu iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara dalam sektor swasta amat aneh sekali memandangkan bahawa lebih 85% daripada penduduk Malaysia pascakemerdekaan yang pelbagai bangsa telah menguasai bahasa ini. Selain itu, sebagai usaha mengaktifkan penggunaan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan yang begitu proaktif untuk membentuk dan menyelaraskan istilah-istilah baharu dalam pelbagai bidang cabang ilmu seperti sains dan teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan Internet yang banyak berkisar di sektor swasta.

Cadangan Memartabatkan Bahasa Melayu: Bahasa Inggeris Bahasa Kedua
Akhirnya, objektif pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mesti jelas. Peranan dan kepentingan bahasa kedua tidak boleh disamatarafkan dengan peranan dan status bahasa pertama; bahasa Melayu yang berperanan sebagai alat pembangunan negara, pembentuk jati diri bangsa, dan penyatu bangsa Malaysia. Selain itu, kedapatan kecenderungan dalam kalangan golongan elit berbahasa Inggeris di Malaysia, malah juga dalam kalangan pemimpin Melayu sebagai agen jentera kerajaan, yang meremehkan status bahasa pertama; bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa rasmi sahaja. Sedangkan sering ditegaskan bahawa bahasa Inggeris penting sebagai bahasa kemajuan: kemajuan ekonomi, perusahaan, dan teknologi.

Penutup
Sebagai konklusi, indahnya bahasa Melayu, begitu halus sehingga menusuk kalbu. Berdasarkan pelbagai faktor yang dominan, bahasa Melayu telah terpilih sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia. Justeru, tertanggung di pundak rakyat Malaysia untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu memang berkeupayaan menjadi bahasa bagi segenap sektor dengan kita sendiri menjadi pendukungnya yang benar-benar berkemampuan.

Wassalam ...

Comments

Popular posts from this blog

Jenis-jenis Perkataan dalam Bahasa Melayu (Kata Tunggal, Kata Terbitan, Kata Majmuk, & Kata Ganda)

Senyum... Senyum... Aneka Senyum...

Kewajaran Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu