Kampung Padang Jambu, 23000 Dungun, Terengganu.

Assalamualaikum WBT.

Pada kali ini aku ingin mempromosikan tanah tumpahnya darahku; Kampung Padang Jambu dalam Daerah Dungun di Negeri Terengganu Darul Iman. Jadi entri ini boleh dijadikan panduan bersama.

Lokasi Kampung Padang Jambu
1. Tak Kenal Maka Tak Cinta

Kampung Padang Jambu merupakan kampung di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura-N.27 bahagian Parlimen Dungun-P.039. Kampung ini terletak berhampiran Sungai Dungun dengan jarak 0.55 km di bahagian utara. Lokasi kampung ini berkedudukan 2.26 km dengan bandar Dungun, Sura Gate dan 2 km dengan Kuala Dungun yang menghadap ke Laut Cina Selatan, di bahagian timur. Manakala menghala ke barat laut ialah jambatan Sungai Dungun iaitu dengan jarak 1.28 km. Bersempadan di sebelah utara ialah Kampung Nibong Bawah manakala Kampung Tanjung Pagar di bahagian barat daya. Kampung Bukit Chatak bersempadan di selatan dan Kampung Jalan Merpati di timur. Sementara itu, di bahagian barat berhadapan dengan sebuah kawasan paya dan Kampung Belakang Bukit Tebuk.



Lokasi Kampung Padang Jambu dalam Kawasan Majlis Perbandaran Daerah Dungun

2. Profil Kampung Padang Jambu

Luas Kampung Padang Jambu lebih kurang 79 hektar persegi. Penduduknya berdasarkan Profil Kampung Gerakan Daya Wawasan 2006, berjumlah 964 orang (486 lelaki dan 478 perempuan) iaitu, 962 orang berbangsa Melayu dan selebihnya 2 orang merupakan bangsa Cina. Komposisi penduduk Kampung Padang Jambu berdasarkan kumpulan umur dipaparkan seperti jadual berikut.

Komposisi Penduduk Kg. Padang Jambu Berasaskan Kumpulan Umur
Kumpulan Umur
Lelaki
Perempuan
Jumlah
60 tahun ke atas
46
65
111
40 tahun hingga 59 tahun
40
28
68
18 tahun hingga 39 tahun
176
179
355
13 tahun hingga 17 tahun
91
69
160
  7 tahun hingga 12 tahun
77
56
133
  5 tahun hingga 6 tahun
39
54
93
  0 tahun hingga 4 tahun
17
27
44
Jumlah Keseluruhan
486
478
964

Taksiran tahun 2006 jelas menunjukkan terdapat 240 buah keluarga di Kampung Padang Jambu berdasarkan Profil Kampung Gerakan Daya Wawasan 2006. Sekiranya dinisbahkan dengan jumlah penduduk yang ada, didapati purata sesebuah keluarga asas terdiri daripada empat anggota.

3. Asal-usul Nama Kampung Padang Jambu

Nama Kampung Padang Jambu semenjak yang diketahui adalah kekal disebut seperti namanya sekarang tidak berubah. Menurut cerita daripada orang-orang tua, perkampungan ini diteroka dalam tahun 1920-an. Ketika itu, negeri Terengganu diperintah oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultan Terengganu yang ke-13. Peristiwa banjir besar yang dikenali ”Bah Merah” melanda negeri Terengganu pada 27 Disember 1926, Kampung Padang Jambu tidak terkecuali daripada tempias banjir tersebut.

Perkampungan ini diberi nama Kampung Padang Jambu, kerana menurut cerita lisan orang-orang tua
Pokok Gajus "Anacardium Occidentale" @ Jambu Golok
ada hubung kait dengan pokok gajus ”anacardium occidentale” (masyarakat Terengganu menggunakan istilah jambu golok). Pada awal penubuhan, kampung ini dipenuhi dengan belukar tebal iaitu, pokok-pokok gajus (jambu golok) dan pokok kemunting ”rhodomyrtus tomentosa”. Difahamkan hampir keseluruhan kawasan kampung ini yang seluas 79 hektar persegi ditumbuhi pokok gajus (jambu golok). Akhirnya, kini, hampir 95 % daripada pokok-pokok gajus telah ditebang untuk dijadikan kawasan petempatan. Sejak itu, petempatan ini dinamai Kampung Padang Jambu ; menggambarkan kuantiti pokok gajus (jambu golok) yang terlalu banyak. Hal ini kerana keadaan tanah di kawasan Kampung Padang Jambu berpasir yang memang bersesuaian dengan pertumbuhan pokok gajus. Di samping itu, kawasan yang paling banyak ditumbuhi pokok gajus telah diubah ciri-ciri fizikalnya. Kini kawasan berkenaan dijadikan padang bola. Justeru, bertepatanlah dengan panggilan ”padang jambu” (kawasan padang yang banyak ditumbuhi pokok gajus/jambu golok).

4. Faktor-faktor Perubahan Ciri-ciri Bentuk Muka Bumi Kampung Padang Jambu

Kawasan Kampung Padang Jambu merupakan kombinasi tanah pamah yang  dipenuhi dengan belukar tebal iaitu, pokok-pokok gajus dan kawasan beralun. Dengan keluasan 79 hektar persegi, pada awal petempatan hanya beberapa keluarga sahaja yang menetap di sini. Dipercayai pada awal petempatan, masyarakat Melayu mengamalkan kegiatan ekonomi primitif seperti mengumpul hasil-hasil hutan yang diperoleh daripada kawasan hutan di Bukit Tebuk. Antara hasil-hasil hutan tersebut adalah seperti rotan dan buah-buahan yang tertentu. Manakala di kawasan paya dan alur air di bahagian barat Kampung Padang Jambu, merupakan sumber ikan-ikan darat seperti haruan, keli, sepat dan puyu bagi penduduk awal kampung ini. Di samping itu, di kawasan ini terdapat air tanah, iaitu semua air yang terdapat di bawah permukaan bumi. Air tanah merupakan jasad air yang didapati terutamanya di Kampung Padang Jambu kerana terletak berhampiran Sungai Dungun.

4.1. Keganasan Komunis

Berdasarkan maklumat sejarah tanah air, pada masa penjajahan Jepun, komunis menerusi ”Malayan People Anti-Japanese Army” (MPAJA) dianggap sebagai salah sebuah pasukan pejuang kemerdekaan penentang penjajah dari negara matahari terbit itu di Tanah Melayu. Justeru, perjuangan komunis telah mendapat sokongan rakyat tempatan. Namun, pihak MPAJA mula menunjukkan ”taring”  mereka tatkala peralihan tampuk pemerintahan selepas Jepun menyerah kalah dan British mengambil alih semula Tanah Melayu.

Komunis melalui wadah Parti Komunis Malaya (PKM) semakin bermaharajalela di seluruh negara. Mereka mula mengganas dan menyeksa penduduk tempatan dengan zalim. Penduduk dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditanam hidup-hidup, diseksa sehingga mati, direbus atau diseret di jalan sehingga ratusan penduduk menjadi mangsa mereka.

Penduduk di daerah Dungun juga tidak terlepas daripada kekejaman pihak komunis, terutamanya sekitar 1948 hingga 1950. Tragedi yang paling diingati adalah pada pertengahan 1949, Ketua Polis Daerah Dungun, Tuan Bacheor dibunuh di Kampung Serdang, Batu 6 di Ulu Sungai Kuala Dungun ketika dalam perjalanan dari Jerangau selepas mengetuai satu operasi. Ketika itu beliau bersama lima anggota “Jungle Squad”, tetapi anggota lain terselamat.

Keselamatan penduduk Kampung Tanjung Pagar (1 km daripada Kampung Padang Jambu) juga bagaikan telur di hujung tanduk implikasi daripada keganasan pihak komunis. Situasi ditambah lagi dengan tindakan pihak komunis yang menyerang dan membakar stesen kereta api di Kampung Che Lijah. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan telah melaksanakan satu tindakan pemindahan penduduk Kampung Tanjung Pagar ke petempatan baharu, iaitu Kampung Padang Jambu yang pada ketika itu hanya didiami oleh beberapa keluarga sahaja. Pada tahun 1955, sebanyak 20 buah keluarga di kampung berkenaan yang terlibat dalam penempatan semula di Kampung Padang Jambu. Anggota keluarga yang berpindah tersebut terpaksa bermandi keringat untuk menebang pokok-pokok gajus dan membersihkan kawasan daripada belukar tebal di lot-lot petempatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Oleh hal yang demikian, kawasan ini yang dahulunya merupakan belukar tebal ditumbuhi pokok-pokok gajus telah berubah menjadi petempatan yang berpola petempatan berkelompok.

Jalan raya di kawasan ini adalah kurang baik dan jenis tidak berturap. Jalan yang dibina merupakan jalan batu granit. Setengah-setengah jalan ini tidak dapat digunakan  pada musim tengkujuh kerana ditambak dengan tanah merah. Hal ini kerana, keadaan jalan menjadi becak dan berlumpur. Selain itu, lorong jalan kaki denai juga merupakan sebahagian daripada jalan di Kampung Padang Jambu.

4.2. Perlombongan Bijih Besi di Bukit Besi

Kekayaan hasil bumi di Tanah Melayu menjadi tarikan dagangan  kepada pedagang-pedagang asing khasnya pihak Inggeris. Oleh hal yang demikian, pihak Inggeris berusaha menguasai  Negeri-negeri Melayu semata-mata untuk  mengeksploitasikan hasil bumi dari negara ini untuk kepentingan perdagangan mereka di Eropah. Kemunculan perusahaan perlombongan sebagai  sumber  ekonomi  membawa kemakmuran kepada negeri-negeri Melayu pada kurun ke-20. Antara hasil perlombongan utama di Tanah Melayu ialah bijih besi di daerah Dungun.

Sehubungan itu, daerah Dungun menjadi lebih terkenal pada mata dunia sejak penemuan dan perlombongan bijih besi pada tahun 1930 oleh Nippon Mining Company dan seterusnya dieksport ke Jepun pada tahun 1931. Pembangunan di Dungun khususnya di Bukit Besi menjadi pesat dengan terdirinya bangunan pejabat serta jajaran jalan-jalan (rel) kereta api yang menghubungkan Bukit Besi dengan pekan Sura Gate di bandar Dungun dan seterusnya ke jeti di kawasan pantai Teluk Lipat berhampiran Kampung Sura Jeti.

Selain itu, pertambahan penduduk yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun sama ada rakyat Terengganu dari daerah lain mahupun pekerja-pekerja lombong Bukit Besi dan luar Terengganu. Hasil-hasil bijih besi telah diekspot ke Jepun sehinggalah pada masa pendudukan Inggeris di Terengganu, kawasan lombong bijih besi diambil alih oleh kerajaan Inggeris.

Stesen Kereta Api atau The Mail


Pengeluaran bijih besi yang begitu banyak dan bermutu tinggi menyebabkan
taburan penduduk di kawasan Kampung Padang Jambu meningkat. Hal ini kerana, sebuah stesen kereta api telah dibina di kawasan Kampung Padang Jambu yang memudahkan pengangkutan sama ada para pekerja ke Bukit Besi atau proses membawa keluar bijih besi ke jeti di Kampung Sura Jeti. Bagi penduduk kampung yang berhampiran, stesen kereta api ini dinamai ”The Mail”.

Sehubungan itu, sebahagian daripada pekerja lombong bijih besi membuka petempatan di kawasan Kampung Padang Jambu, kendatipun kawasan ini merupakan belukar tebal ditumbuhi pokok-pokok gajus. Justeru, kawasan ini mengalami proses geomorfologi daripada kawasan belukar tebal ditumbuhi pokok-pokok gajus bertukar menjadi kawasan petempatan.

Namun demikian, pada 1 Oktober 1970, Lembaga Pengarah EMMCO (Eastern Mining and Metal Company; syarikat yang mengendalikan perlombongan bijih besi di Bukit Besi) telah membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit Besi. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan penutupan ini, walaupun kandungan bijih besi dipercayai masih terdapat dengan banyak lagi. Penutupan lombong bijih besi ini telah mempengaruhi ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi serta Dungun tidak terkecuali penduduk di Kampung Padang Jambu. Ramai daripada mereka telah berhijrah ke tempat-tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan baru.
Bekas Pekerja-pekerja EMMCO Lombong Bijih Besi di Bukit Besi
Semoga entri kali ini memberi manafaat kepada pencinta-pencinta sejarah. Mungkin kedapatan maklumat yang tidak begitu tepat dalam entri ini. Justeru teguran yang membina dialu-alukan semoga entri ini boleh membantu generasi muda untuk mendalami sejarah meskipun agak kurang penting berbanding dengan sejarah negara. Sesungguhnya yang baik itu kurniaan Allah, yang buruk itu kelemahan diri sendiri.

Wassallam.

Comments

Popular posts from this blog

Jenis-jenis Perkataan dalam Bahasa Melayu (Kata Tunggal, Kata Terbitan, Kata Majmuk, & Kata Ganda)

Senyum... Senyum... Aneka Senyum...

Kewajaran Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu